Majlis Amanat YB Menteri JPM (Hal Ehwal Agama) 2026 Perteguh Komitmen MADANI Dalam Memperkasa Rakyat dan Kebajikan Warga Kerja

PUTRAJAYA, 12 Januari 2026 – Lebih 1,000 orang warga agensi hal ehwal agama, rakan strategik serta wakil media telah menghadiri Majlis Amanat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) 2026 yang berlangsung hibrid di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan melalui siaran secara langsung (livestreaming), hari ini.

Turut hadir, YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Majlis ini menjadi wadah pertemuan yang bermakna dalam memperkukuh kefahaman bersama, menyelaras pelaksanaan dasar sedia ada serta memperteguh komitmen perkhidmatan hal ehwal agama yang lebih berkesan, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat, selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam era pasca normal.

Dalam amanatnya, YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan kepentingan kesinambungan usaha memperkasa institusi agama agar terus relevan dengan cabaran semasa, di samping kekal berteraskan nilai integriti, ihsan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Amanat bertemakan “Mengemudi Perubahan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dalam Era Pasca Normal” turut menekankan keperluan penjawat awam agama untuk bersikap adaptif, berpaksikan ilmu serta berkeupayaan mendepani perubahan landskap sosial dan teknologi.

Majlis turut diserikan dengan syarahan khas oleh Professor Dr. Syed Muhammad Khairuddin AlJunied bertajuk “Lima Minda Muslim – Ke Arah Kemampanan Masa Depan Islam”, yang mengajak warga kerja dan masyarakat menilai peranan Islam secara lebih progresif dalam membentuk kesejahteraan sosial, pembangunan insan dan keharmonian negara.

Sebagai inisiatif yang digagaskan oleh YB Menteri sendiri, Majlis Amanat ini turut menyaksikan pelancaran Kempen #MADANIMembantu, satu inisiatif berteraskan aspirasi Malaysia MADANI yang memperkukuh penyampaian perkhidmatan agensi Hal Ehwal Agama melalui sokongan rohani dan material demi kesejahteraan rakyat.

Melalui kempen tersebut, penyaluran bantuan dimulakan dengan pemberian insentif kepada warga kerja Hal Ehwal Agama, melibatkan sejumlah RM135,000 sumbangan kebajikan melalui persatuan dan kelab kebajikan agensi yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Inisiatif ini bertujuan memperkasa pelaksanaan program kebajikan serta kesejahteraan warga kerja.

Dalam aspek pendidikan pula, sebanyak RM130,000 bantuan pendidikan disumbangkan oleh Yayasan Taqwa MAIWP telah diumumkan bagi menyokong yuran pengajian, penyediaan bahan pembelajaran dan pelaksanaan program akademik anak-anak warga agensi di luar wilayah, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan modal insan yang mampan untuk generasi akan datang.

Turut diumumkan ialah penyampaian dua pakej umrah bernilai RM9,000 setiap satu tajaan Tabung Haji Travel & Services (THTS) kepada warga agensi terpilih, sebagai simbol penghargaan dan pengiktirafan terhadap dedikasi penjawat awam yang berkhidmat dengan penuh amanah dan komitmen.

Secara keseluruhan, penganjuran Majlis Amanat YB Menteri JPM (Hal Ehwal Agama) 2026 menzahirkan hala tuju kepimpinan yang progresif dan berteraskan nilai, dengan penekanan kepada pemerkasaan penyampaian perkhidmatan agama kepada rakyat serta pengukuhan kebajikan ummah sebagai asas pelaksanaan dasar negara. Pendekatan ini diyakini menjadi pemangkin kepada pembentukan Malaysia MADANI yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan menyeluruh.

📸 Jurufoto JAKIM: Syaiful Farizal Nor Azmi – UKK JAKIM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *