JPN jamin tiada engkar perintah mahkamah berhubung kes remaja mohon MyKad

Oleh: Sholina Osman
13 JAN. 2026

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa tiada keingkaran terhadap perintah Mahkamah berlaku berhubung kes seorang individu berusia 17 tahun atau dikenali CJ berkaitan permohonan pengeluaran MyKad.

Kenyataan media JPN memakluman bahawa semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur, berhemah serta selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa.

“CJ telah hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan (BKP) JPN Putrajaya pada 8 Januari 2026 bagi penyerahan perintah Mahkamah Tinggi tersebut,” tambah kenyataan itu.

SEMAK PENDAFTARAN LEWAT

Sehubungan itu, JPN telah menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan untuk dilengkapkan oleh CJ sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah Mahkamah.

“Namun demikian, sehingga 12 Januari 2026, JPN masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap daripada CJ untuk tindakan lanjut,” kata JPN.

Walau bagaimanapun, JPN ingin menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan isu penipuan dokumen semasa permohonan sijil kelahiran dibuat oleh ibu individu terbabit pada tahun 2008.

PENGELUARAN BUKTI KELAHIRAN

Penipuan dokumen tersebut melibatkan pengeluaran bukti kelahiran secara tidak sah oleh sebuah fasiliti perubatan, iaitu Taj Hospital, yang mana hospital tersebut telah pun disenaraihitamkan oleh JPN.

Isu ini merupakan asas kepada ketidakselarasan dan penipuan dokumen yang direkodkan oleh JPN sebelum perkara status kewarganegaraan individu terbabit dibawa ke Mahkamah.

Berikutan itu Jabatan ini tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan, khususnya dalam kes yang melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini.

Semua langkah yang diambil adalah bagi memastikan ketepatan, integriti rekod negara serta pematuhan kepada undang-undang. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *