






Kuching, 9 Januari 2026 — Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, YDH CP Gilberd Ak Philip Layang, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, YDH CP Datuk Mohamad Zainal bin Haji Abdullah, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada hari ini.
Kunjungan hormat ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan kerjasama strategik antara Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM dengan Kontinjen Sarawak, khususnya dalam aspek pengurusan logistik, fasiliti, aset serta penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepolisan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah SAC Rohana binti Abdul Rahman, Timbalan Pengarah (Kewangan/Perolehan/Kepolisan Am) Jabatan Logistik dan Teknologi; SAC Zakaria bin Ismail, Timbalan Pengarah (Fasiliti/Bekalan/Aset) Jabatan Logistik dan Teknologi; SAC Rizal bin Abd Rahman Sidek, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak; ACP Lim Jit Huey, Timbalan Ketua Urus Setia (Teknologi) PDRM Bukit Aman; serta ACP Shahrulnizam bin Ahmad, Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Kontinjen Sarawak.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan serta membincangkan pelbagai perkara berkaitan keperluan logistik dan teknologi, penambahbaikan infrastruktur, pengurusan aset serta inisiatif berterusan bagi menyokong kesiapsiagaan pasukan dan kesejahteraan anggota PDRM di Sarawak.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi PDRM dalam memperkukuh tadbir urus logistik dan teknologi demi memastikan perkhidmatan kepolisan yang lebih efisien, berkesan dan selari dengan keperluan semasa.
