

Oleh: Sholina Osman
11 JAN. 2026
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini memantau rapi program bertajuk “Glamping With Pride” bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya memandang serius penganjuran program “Glamping With Pride” oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada isu kesihatan dan hak bagi lelaki gay, biseksual serta lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki di Malaysia, termasuk penyediaan sokongan rakan sebaya dan advokasi berkaitan isu kesihatan, khususnya HIV.
“JAKIM ingin menegaskan bahawa sebarang usaha atau pendekatan yang menormalisasikan perlakuan seks songsang adalah jelas bercanggah dengan prinsip dan ajaran agama Islam, di samping ia bertentangan dengan nilai akhlak, tamadun serta kerangka perundangan negara,” kata beliau dalam kenyataan media.
MERUPAKAN SATU KESALAHAN
Dr Sirajuddin berkata perbuatan sedemikian merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk peruntukan Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Seksyen 25] serta Kanun Keseksaan [Seksyen 377A, 377B, 377C dan 377D] yang memperuntukkan kesalahan berkaitan seks luar tabii.
Beliau berkata pihak berkuasa tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penganjuran atau pelaksanaan program yang didapati bercanggah dengan ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam, dan tindakan tegas akan diambil selaras dengan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam masa yang sama kata beliau
JAKIM akan terus melaksanakan peranan penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini, agar tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai satu gaya hidup kerana ia jelas bertentangan dengan agama, undang-undang dan budaya setempat. – JM
