MEDIA BENTUK PERSEPSI POSITIF USAHA ANTIRASUAH

Putrajaya, 8 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan komitmen untuk membanteras ketirisan atau kehilangan wang kepada negara meskipun berdepan cabaran besar apabila awal tahun ini negara dikejutkan dengan kes rasuah berprofil tinggi melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, fokus SPRM kekal tidak berubah iaitu melaksanakan tanggungjawab secara profesional dan berintegriti dalam usaha membersihkan imej negara daripada amalan rasuah yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat serta reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Usaha membanteras rasuah secara realitinya menuntut ketegasan khususnya apabila kes-kes besar terus timbul tanpa mengira status individu mahupun institusi,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi akhbar Harian Metro diketuai Pengarang Eksekutif (Kandungan), Muhamad Safar Ahmad di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Tan Sri Azam turut merakamkan penghargaan kepada Harian Metro atas kerjasama baik dan sokongan berterusan media itu dalam menyiarkan laporan berkaitan SPRM merangkumi pelbagai isu operasi dan pencegahan rasuah.

Mengulas mengenai persepsi masyarakat, beliau mengakui perkara tersebut tidak dapat dielakkan, namun SPRM akan terus berusaha membentuk persepsi positif melalui tindakan konsisten dan komunikasi berkesan, walaupun berhadapan isu yang berulang.

“Justeru, peranan media amat penting sebagai rakan strategik dalam membantu SPRM menyampaikan maklumat yang tepat, seimbang dan berfakta kepada masyarakat,” katanya.

Tan Sri Azam turut menyatakan kesediaan SPRM untuk bekerjasama dengan Harian Metro sekiranya media itu berminat menghasilkan laporan berbentuk “kisah-kisah menarik” bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai usaha di sebalik tabir SPRM dalam menangani jenayah rasuah.

Sementara itu, Muhamad Safar berharap agar kerjasama erat antara kedua-dua pihak dapat diteruskan demi mendidik masyarakat serta meningkatkan kefahaman awam berkaitan isu integriti dan rasuah selain usaha-usaha pencegahan rasuah yang giat dilaksanakan oleh SPRM.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff berkata, SPRM akan melaksanakan bengkel kewartawanan bersama pihak media sebagai usaha memperkukuh kefahaman bersama, sekali gus memastikan penyampaian berita berkaitan SPRM selari dengan keperluan dan konteks sebenar agensi tersebut.

Dalam kunjungan itu, Tan Sri Azam turut menjadi tetamu dalam program podcast Apa-Apa Saja Harian Metro yang dikendalikan pengacara Azrul Affandi Sobry yang mengupas pelbagai isu semasa berkaitan rasuah serta hala tuju SPRM pada tahun ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah BKS SPRM, Tuan Jules Rahman Ong, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, Pengarang Berita Harian Metro, Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Ketua Unit Video NSTP, Asmizan Mohd Samiran.

SPRMMalaysia

RasuahDihinaMaruahDibina

taatsetia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *