


Oleh: Sholina Osman
9 JAN. 2026
Sebanyak 34 premis yang diperiksa dalam OPS KESAN 5.0 di Selangor telah menerima Notis di bawah Seksyen 21 Akta 723.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata sepanjang pemeriksaan di bawah OPS KESAN 5.0 bermula 1 Januari hingga 9 Januari 2026, sebanyak 34 premis melibatkan 156 Stock Keeping Unit (SKU)/ jenis barangan telah diperiksa oleh pasukan penguat kuasa KPDN Selangor.
Beliau berkata pihaknya kekal komited menjalankan pemeriksaan OPS KESAN 5.0 sebagai langkah intervensi/fear factor kepada peniaga agar berwaspada dan beretika
supaya tidak sesekali mengambil kesempatan susulan pelarasan gaji penjawat awam.
MEMASTIKAN PEMATUHAN PENIAGA
“Pemeriksaan OPS KESAN 5.0 di seluruh Selangor ini adalah untuk memantau dan memastikan pematuhan peniaga dan industri terhadap perundangan di bawah Akta
Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Mekanisme Untuk Menentukan
Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 susulan penyelarasan gaji Fasa 2 kali ini,” kata beliau dalam kenyataan media.
Pada masa yang sama, pemeriksaan di bawah OPS KESAN 5.0 adalah sebagai isyarat penting kepada peniaga agar tidak sesekali mengambil kesempatan membuat
pergerakan harga sama ada tanpa asas mahupun melakukan pencatutan.
Mohd Zuhairi berkata pemeriksaan OPS KESAN 5.0 di peringkat peruncit yang memfokuskan kepada barangan Jualan Back To School di sekitar premis yang beroperasi di Shah Alam.
Fokus pemeriksaan ke atas Jualan Back To School bertujuan untuk memeriksa kedudukan harga jualan barangan kelengkapan persekolahan sempena menjelang sesi persekolahan yang akan bermula pada 12 Januari 2026 nanti. – JM
