


Kuala Lumpur, 7 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama strategik bersama Media Prima Berhad (MPB) sebagai usaha berterusan memperluas penyampaian mesej antirasuah kepada masyarakat menerusi platform media yang lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, kerjasama erat dengan organisasi media utama seperti Media Prima adalah amat penting bagi memastikan mesej berkaitan integriti, tadbir urus yang baik serta bahaya rasuah dapat disampaikan secara konsisten dan berkesan kepada semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, SPRM kini memberi penekanan khusus kepada promosi inisiatif nasional “Keep Malaysia Clean” (KMC) yang telah dilancarkan pada Oktober 2025, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membudayakan nilai integriti dan menolak sebarang bentuk rasuah dalam kehidupan seharian rakyat.
“Inisiatif KMC ini merupakan satu usaha menyeluruh untuk mewujudkan kebersamaan dan tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat bagi membanteras rasuah. Ia bukan hanya tanggungjawab SPRM semata-mata, tetapi memerlukan sokongan padu semua pihak termasuk media, sektor swasta dan rakyat,” katanya ketika mengadakan lawatan rasmi ke MPB di Balai Berita Bangsar, di sini hari ini.
Beliau menegaskan, kolaborasi strategik jangka panjang dengan MPB bukan sahaja membantu mengekalkan momentum penyampaian mesej antirasuah, malah berupaya memperluaskan jangkauan maklumat melalui pelbagai platform seperti televisyen, radio, media cetak dan digital yang dimiliki oleh kumpulan media tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid menyatakan sokongan penuh terhadap usaha SPRM dan menyambut baik hasrat SPRM untuk memanfaatkan kekuatan rangkaian media MPB sebagai medium pendidikan serta kesedaran awam berkaitan isu rasuah dan integriti.
Dalam pada itu, Tan Sri Azam turut dijemput sebagai tetamu dalam program podcast Berita Harian, Borak Harini yang dikendalikan oleh pengacara Ilah Hafiz Aziz dan Suzalina Halid, bagi mengupas isu semasa berkaitan rasuah serta peranan SPRM dalam mendepani cabaran semasa.
Tan Sri Azam berkongsi secara mendalam mengenai hala tuju, strategi serta fokus utama SPRM dalam memperkukuhkan operasi pencegahan dan penguatkuasaan rasuah di negara ini.
Beliau turut menjelaskan peranan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, khususnya berkaitan skop perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat atau ‘whistleblowers’.
Terdahulu, ketibaan beliau disambut Datuk Seri Dr Syed Hussian; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Rafiq Razali; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima, Jasbant Singh dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Zulkifli Jalil.
Dalam lawatan itu, Tan Sri Azam dan delegasi SPRM turut diberikan taklimat berkaitan operasi MPB oleh Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan dibawa meninjau konti radio Hot FM, Kool 101, Molek FM dan Fly FM, selain pejabat Rev Media Group, studio penyiaran TV3 serta bahagian editorial.
Turut hadir Pengarah Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail dan Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, PKPj Hisyam Mohd Yusoff.
