NADI Johor laksana penilaian keselamatan ke atas premis yang dipecah masuk – MCMC

Oleh: Sholina Osman
7 JAN. 2026

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Johor sedang melaksanakan penilaian keselamatan ke atas premis-premisnya yang telah dipecah masuk sehingga mengakibatkan kehilangan wang tunai serta kerosakan aset.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan tindakan susulan ini termasuk melakukan
penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar.

Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas dan memperkukuh peranan komuniti setempat dalam pencegahan jenayah.

Sementara itu MCMC juga merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti
(JPJKK) Kontinjen Johor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, atas tindakan menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam siri kes pecah masuk dan kecurian melibatkan NADI di Johor.

HASIL PENYELARASAN OPERASI

Penahanan suspek ini merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara PDRM Kontinjen Johor, khususnya JPJKK Johor dengan IPD Pontian, bersama MCMC dan pengurusan NADI.

Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi NADI di Johor, sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti.

Bagi tempoh antara September hingga Disember 2025, sebanyak 13 kejadian pecah masuk melibatkan NADI telah direkodkan di Johor.

Insiden-insiden ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian NADI dan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *