







Oleh: Sholina Osman
4 JAN. 2026
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat bagi meninjau ladang ternakan kelulut yang diusahakan oleh Madrasah Tahfiz Taufiqillah di Jitra, Kedah.
Baginda disambut oleh Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Datuk Seri Auzaid Ismail.
Sempena lawatan ke ladang berkenaan yang terletak Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra,
Baginda juga berkenan mencuba kemanisan madu kelulut.
Auzaid berkata ternakan kelulut yang diusahakan oleh Madrasah Tahfiz sejak 2015 itu bukan sahaja untuk menampung sebahagian perbelanjaan institusi itu tetapi juga menjadi medium pembelajaran keusahawanan dan kemahiran kepada pelajarnya.
ADA MENGGENAKAN YURAN
“Sekalipun pihak tahfiz ada mengenakan yuran tetapi disebabkan kebanyakan pelajar adalah asnaf maka mereka tidak pernah dipaksa kerana tidak mampu membayar,” kata beliau.
Berikutan itu pihaknya mendapat ilham untuk menjana pendapatan sendiri, selain sumbangan infaq daripada pelbagai pihak bagi melancarkan operasi madrasah berkenaan.
Jelas beliau modal untuk memulakan ternakan kelulut ini diperoleh daripada badan zakat.
Beliau berkata perusahaan itu secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang pengurusan penternakan kelulut, termasuk teknik penjagaan koloni, proses penyedutan madu serta penghasilan produk hiliran berasaskan sumber semula jadi.
MELAHIRKAN GRADUAN TAHFIZ
Auzaid berkata dengan penglibatan pelajar dalam aktiviti itu berjaya melahirkan graduan tahfiz yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah mempunyai kemahiran keusahawanan sebagai nilai tambah dalam kehidupan mereka.
“Kini terdapat lebih 200 sarang kelulut yang mampu menghasilkan antara 200 hingga 300 kilogram madu asli setahun dan dijual pada harga RM180 sekilogram atau RM30 bagi 120 gram,” tambah beliau.
Selain madu kelulut, pusat tahfiz yang mempunyai lebih 60 pelajar dengan lima tenaga pengajar itu kini sedang meneroka bidang baharu iaitu perusahaan baja pokok sebagai sumber baharu pendapatan. – JM
