MAJLIS PELUNCURAN PROJEK INOVASI PENCAHAYAAN KE ARAH KELESTARIAN BANDAR SEMPENA TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026“I LITE U”

KUALA LUMPUR, 3 Januari 2026 — Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan “I LITE U”, sebuah inisiatif strategik pencahayaan bandar yang bertujuan memperindah landskap malam Kuala Lumpur serta memperkukuh daya tarikan bandar raya ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf global.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan turut diserikan dengan kehadiran pelakon Malaysia bertaraf antarabangsa serta pemenang Oscar, YBhg. Tan Sri Michelle Yeoh.

Inisiatif “I LITE U” berperanan sebagai pembuka tirai kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang menyasarkan 28 juta ketibaan pelancong serta RM76 bilion hasil pelancongan. Pelaksanaan inisiatif ini memberi tumpuan kepada transformasi landskap bandar pada waktu malam di samping menyediakan manfaat langsung kepada orang ramai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, berkata inisiatif ini melangkaui aspek estetika dan penjenamaan bandar semata-mata.

“Infrastruktur pencahayaan moden ini bukan sahaja bertujuan memperindah landskap malam Kuala Lumpur, malah turut meningkatkan keselamatan dan keselesaan pejalan kaki serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

Tan Sri Michelle Yeoh menyifatkan penglibatannya dalam program ini sebagai amat bermakna, khususnya ketika Malaysia bersedia menyambut kedatangan pelawat dari seluruh dunia sempena VM2026.

Bukit Bintang telah dipilih sebagai lokasi perintis inisiatif ini berikutan peranannya sebagai hab pelancongan dan komersial utama Kuala Lumpur. Majlis pelancaran turut dimeriahkan dengan perarakan serta persembahan kebudayaan yang melibatkan hampir 20 kontinjen terdiri daripada pelbagai kementerian, agensi dan institusi pendidikan.

Projek perintis “I LITE U” di Bukit Bintang merangkumi empat komponen utama, iaitu:

  1. Pemasangan pencahayaan pintu gerbang (gateway lighting);
  2. Pembinaan arca mercu tanda Tahun Melawat Malaysia 2026;
  3. Naik taraf lintasan pejalan kaki sedia ada dengan pencahayaan yang lebih terang dan selamat; dan
  4. Pembinaan lintasan pejalan kaki baharu dengan pencahayaan yang dipertingkat bagi meningkatkan kebolehlaluan dan keselamatan pada waktu malam.

“I LITE U” diterajui secara bersama oleh KPKT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Majlis pelancaran turut menerima sokongan strategik daripada Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC), PR1MA Malaysia, YTL Land dan Grab Malaysia.

KPKT turut menegaskan bahawa VM2026 bukan sekadar memperindah wajah bandar, malah turut merangkumi aspek kebersihan, tanggungjawab awam dan pengalaman pelawat secara menyeluruh. Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang bermula pada 1 Januari 2026 merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancongan yang bersih, selamat dan mesra pelawat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Wilayah Persekutuan, YB Puan Hannah Yeoh, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi, YB Dr Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan, Timbalan Menteri KPKT, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud.

MADANIBekerja

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *