





5 Jan 2026
Lagu ‘Putusnya Butir Tasbihku’ dendangan kumpulan Ustaz 3 Beradik (feat. Fadzil Far East) dinobat sebagai juara pada Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI’25) yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan komposer Frizdan Fizarahman serta penulis lirik Fadzli Far East dan Amy Bong membawa pulang RM10,000 berserta trofi.
Lagu yang disampaikan dengan tema banduan akhir itu turut meraih anugerah persembahan terbaik sekali gus membawa pulang RM3,000 berserta trofi.
Naib juara ACI’25 pula dimenangi kumpulan Simfoni (feat. Ezad Lazim) menerusi lagu ‘Terus’ yang turut memenangi anugerah lirik terbaik, manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Rabbani dengan lagu ‘Husnul Khatimah’, sementara vokal terbaik dimenangi kumpulan Fetya menerusi lagu ‘Taufan Al-Aqsa’.
Acara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
📸 Mohd Asri Saifuddin Mamat / BERNAMA
