Sebalik realiti perikanan ikan yu di Indonesia, industri bernilai tinggi

31 Disember 2025

Sejak dekad 1940-an, perikanan ikan jerung (atau ikan yu) di Indonesia berkembang sebagai industri bernilai tinggi, merentas pelbagai spesies. Hari ini, negara itu muncul antara pengeluar produk yu terbesar dunia, mencecah anggaran hingga 100,000 tan setahun.

Namun di sebalik angka itu, sebuah realiti menggusarkan. Populasi sekurang-kurangnya 114 spesis yu merosot akibat tangkapan tidak terkawal. Krisis pemuliharaan semakin menyesakkan nafas lautan.

Pelabuhan Tanjung Luar di Lombok Timur, antara pusat pendaratan dan perdagangan ikan yu terkenal di Indonesia. Didukung permintaan pasaran antarabangsa khususnya dari China, Hong Kong, Thailand dan Jepun, produk ikan yu dieksport dalam bentuk sirip, minyak hati dan kulit.

Hampir seluruh bahagian badan yu juga boleh dimanfaatkan – sirip, daging, kulit, tulang dan gigi, menjadikan industri ini nadi rezeki komuniti pesisir yang bergantung sepenuhnya pada laut. Nilai ekonominya luar biasa, cukup untuk mengubah nasib keluarga nelayan.

JAUH LEBIH RUMIT

Namun realitinya jauh lebih rumit. Walaupun Indonesia mengguna pakai kerangka Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar (CITES) bagi mengawal perdagangan spesies terancam, tidak semua spesies yu tersenarai sebagai dilindungi dalam perundangan.

Majoriti yu yang didaratkan di Indonesia juga adalah tangkapan sampingan (bycatch) daripada industri perikanan tuna dan udang.

Ikatan sosio-ekonomi antara nelayan dan kartel pula terus mengheret penangkapan yu. Malah masih ramai nelayan percaya yu tidak akan pupus dan tidak melihat kehilangannya sebagai ancaman kepada ekosistem.

Apatah lagi penurunan populasi yu tidak hanya terjadi akibat perburuan dan perdagangan, tetapi juga kerosakan ekosistem laut dan terganggunya keseimbangan rantai makanan. Dengan kadar pembiakan rendah, pertumbuhan perlahan dan tempoh matang yang panjang, yu amat terdedah kepada eksploitasi berlebihan.

Jurufoto BERNAMA, 𝐈𝐬𝐤𝐚𝐧𝐝𝐚𝐫 𝐊𝐚𝐦𝐚𝐫𝐮𝐳𝐚𝐦𝐚𝐧 sempat menyingkap realiti Tanjung Luar, bukan untuk menuding jari, tetapi untuk menyemai kesedaran, membentuk generasi baharu yang peduli samudera, agar rezeki nikmat hari ini tidak hanya menjadi kenangan esok hari. – Soraya J.

BernamaImages

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *