KDN TEGAS: TIADA KOMPROMI TERHADAP PATI

27 Disember 2025

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, konsisten dan berterusan bagi menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI) demi memelihara kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman negara.

Sepanjang tahun 2025 sehingga 24 Disember, sebanyak 13,678 siri operasi telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan pemeriksaan ke atas 235,343 warga asing.

Hasilnya, lebih 90,000 PATI telah ditahan, termasuk 50,472 orang melalui operasi JIM serta 41,357 orang di pintu masuk utama negara dan melalui serahan agensi-agensi penguat kuasa lain.

KDN juga tidak berkompromi terhadap majikan yang menggaji dan melindungi PATI. Seramai 2,012 majikan tempatan serta majikan warga asing turut diambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Operasi penguatkuasaan ini dilaksanakan berdasarkan aduan awam dan risikan di lokasi tumpuan pekerja asing, termasuk golongan PATI, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan pengurusan migrasi negara dilaksanakan secara berintegriti dan berkesan.

KDN akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan demi menjamin keselamatan rakyat, memelihara kedaulatan negara dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia
Tarikh: 27 Disember 2025

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *