PETRONAS PERKUKUH AGENDA INTEGRITI BERSAMA SPRM

Putrajaya, 23 Disember – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memperkukuh komitmennya menjadi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sebagai peneraju dalam integriti dan antirasuah menerusi kerjasama strategik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Komitmen itu dizahirkan menerusi pertemuan delegasi Unit Integriti Kerajaan (IGU) Petronas yang diketuai oleh Ketua Pegawai Integriti Kumpulan Petronas, KPKPj Mohamad Faizal Sadri dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Pertemuan itu bertujuan mendapatkan panduan SPRM bagi memperkukuh pengamalan etika merentasi operasi dan rantaian bekalan syarikat selain hala tuju Petronas dalam memperkasa integriti melangkaui isu rasuah serta jenayah kewangan.

Dalam sesi itu juga, Petronas turut membentangkan kemajuan pelaksanaan pelbagai inisiatif tadbir urus termasuk penambahbaikan mekanisme β€˜whistleblowing’, pengukuhan kerjasama perkongsian awam-swasta, program kesedaran berasaskan kepimpinan serta pelan lima tahun integriti dan antirasuah yang turut merangkumi aspek pengubahan wang haram.

Sementara itu, Tan Sri Azam berkata, SPRM menekankan kepentingan pendekatan pencegahan yang menyeluruh, perlindungan β€˜whistleblower’ yang berkesan serta pengendalian laporan secara telus bagi membina kepercayaan dan memperkukuh akauntabiliti dalam organisasi.

Beliau turut menggalakkan kerjasama dalam program pembangunan kapasiti serta perkongsian amalan terbaik bagi memastikan penambahbaikan berterusan dan pematuhan etika, sekali gus meletakkan kedudukan Petronas sebagai GLC peneraju dalam integriti dan kecemerlangan antirasuah.

Sementara itu, Tan Sri Azam menyambut baik cadangan untuk beliau hadir berkongsi visi dan aspirasi berkaitan pendekatan strategik SPRM dalam sesi β€œCoffee With Integrity” Bersama Pengurusan Tertinggi Petronas yang akan diadakan pada tahun depan.

Dalam pada itu, Petronas menegaskan komitmennya untuk terus memupuk budaya integriti yang melangkaui pematuhan semata-mata, selaras dengan aspirasi syarikat untuk menetapkan piawaian baharu integriti dalam landskap korporat negara.

Turut hadir Pengurus Besar (Pengukuhan Integriti dan Jabatan Kerajaan Petronas) Norashikin Hassalli; Pengurus Pengukuhan Integriti (Pengukuhan Integriti dan Jabatan Kerajaan Petronas), Norsiati Shamsuddin; Pengurus Pengurusan Aduan (Jabatan Pengurusan Aduan) Tengku Bahrizal Ezani Tengku Mohamad dan Eksekutif Pengurusan Aduan (Jabatan Pengurusan Aduan), M Afiq M Zahari.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *