Konsep perpaduan nasional diperkukuh melalui amalan toleransi – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
24 DIS. 2025

Konsep perpaduan nasional diperkukuh melalui amalan toleransi dan hormat menghormati dalam kalangan pelbagai kaum.

Penerapan nilai-nilai ini dapat meningkatkan kesepaduan sosial, membina hubungan yang harmoni, dan merealisasikan aspirasi negeri dan juga negara yang bersatu padu.

Pada masa yang sama, para pemimpin di semua peringkat perlu bertindak secara proaktif untuk menggalakkan persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat.

MENGHARGAI DAN MEMELIHARA

Penting untuk sentiasa menghargai dan memelihara keamanan serta keharmonian yang telah dibina.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Behor Pulai, Kangar baru-baru ini.

Kayuhan MAIPs Peduli merupakan program kebajikan berkonsepkan aktiviti berbasikal yang digabungkan dengan misi menyantuni asnaf di seluruh negeri ini.

MENJEJAKI DAN MEMBANTU

Antara objektif utama adalah menjejaki dan membantu mereka secara turun padang, menyampaikan bantuan zakat seperti wang tunai, bakul makanan dan bantuan khas MAIPs, selain mengukuhkan hubungan antara institusi agama dan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat, serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan MAIPs dalam menjaga kebajikan umat Islam.

Sempena aktiviti tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima asnaf, iaitu Meriyam Mat, 56, dari Kampung Guar Syed Alwi, Mohd Fairol Azman Ishak, 47, dari Kampung Sungai Bakong, dan Mohammad Bakri Ahmad, 41, dari Kampung Behor Gandil.

Setiap penerima menerima bantuan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban keperluan harian mereka. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *