Program Rancakkan MADANI catat sambutan luar biasa dengan 502,804 pengunjung

Oleh: Sholina Osman
8 DIS. 2025

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI) telah menerima sambutan yang luar biasa apabila 502,804 orang pengunjung hadir sepanjang tiga hari penganjurannya mulai 5 hingga 7 Disember 2025 (Jumaat hingga Ahad) di Dataran Putrajaya, Putrajaya.

Kenyataa media Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) memaklumkan bahawa program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui PACU dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (PA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ini, turut merekodkan pelbagai pencapaian yang ketara termasuk kutipan jualan MADANI berjumlah RM2,150,608.

Ia merangkumi jualan Usahawan, jualan RAHMAH, Jualan Agro, Pesta Rasa @ Selera Malaysia, dan Trak Makanan.

Manakala inisiatif Padanan Perniagaan mencatatkan nilai melebihi RM400,000.

KOMPAUN SAMAN TERPILIH

Kaunter bayaran kompaun saman terpilih Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing telah mencatat kutipan sebanyak RM98,330 dan RM36,143, menjadikan jumlah keseluruhan kutipan kompaun berjumlah RM134,473.

Sementara itu, seramai 1,252 individu telah berjaya menerima surat tawaran pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka yang dijalankan sepanjang program.

Program Rancakkan MADANI telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dengan turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; serta barisan kepimpinan tertinggi Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri.

500 PENGISIAN PROGRAM

Program Rancakkan MADANI membawakan kira-kira 500 pengisian program merangkumi lapan segmen iaitu Belia MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Produk Rakyat MADANI, Ukhuwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Kepengerusian ASEAN dan Diplomasi
MADANI.

Melalui program ini juga, Kerajaan turut meluncurkan beberapa inisiatif baharu antaranya Sahabat Penggerak MADANI, Skim Insurans
Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling ILTIZAM, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan ARPA serta Buku Malaysia Merdeka.

Dalam slot penyampaian ucaptama, Perdana Menteri menegaskan bahawa Program Rancakkan MADANI adalah platform terbaik bagi rakyat menilai secara langsung pencapaian dan perkembangan inisiatif Kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun ini.

INISIATIF KERAJAAN DISAMPAIKAN

Beliau turut menekankan bahawa program ini membolehkan pelbagai perkhidmatan, manfaat dan inisiatif kerajaan disampaikan secara terus kepada rakyat di satu lokasi.

Perdana Menteri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen semua kementerian/agensi serta pihak yang menjadi nadi kejayaan penganjuran ini.

Selain itu, sokongan padu rakyat yang hadir dalam jumlah memberangsangkan turut mencerminkan keyakinan dan komitmen rakyat bersama-sama Kerajaan dalam meneruskan agenda pembaharuan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *