PESALAH RASUAH: TIADA SESIAPA TERLEPAS DARI TINDAKAN UNDANG-UNDANG

Putrajaya, 5 Disember – Semua pimpinan kerajaan termasuk badan penguatkuasaan digesa supaya tidak melindungi mana-mana anggota atau pegawai mereka yang terbabit dalam salah laku dan rasuah.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbabit dalam jenayah termasuk dari Pejabat Perdana Menteri sendiri.

Beliau berkata, negara hanya akan selamat jika seluruh pasukan dalam mana-mana agensi bersedia untuk melakukan usaha bersama membanteras gejala rasuah.

“Kalau kebetulan ada anggota kita tersalah langkah, kalau ringan tindakan disiplin (boleh) diambil…kalau terlanjur besar, mesti ada kesediaan dari badan penguat kuasa untuk bertindak terhadap anggota kita sendiri, baru boleh selamat negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 bertemakan “Bersama Perkhidmatan Awam MADANI Memerangi Rasuah : Membentuk Integriti Masa Hadapan” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Perdana Menteri menegaskan jenayah rasuah boleh berlaku di mana-mana dan perkara itu perlu dilaporkan manakala pelakunya mesti diambil tindakan.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Anwar turut merasmikan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang merupakan inisiatif strategik baharu Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi memperkukuhkan ekosistem integriti, memantapkan tadbir urus serta memerangi rasuah dalam sektor awam.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, pelaku yang terlibat dalam rasuah perlu dibankrapkan agar tidak lagi menikmati harta yang dicuri.

SIASATAN LEBIH AGRESIF

Menurutnya, fokus SPRM pada 2026 memberi keutamaan kepada siasatan lebih agresif terhadap kes berprofil tinggi dan berskala besar bagi memastikan individu yang mempunyai kedudukan, kuasa atau kekayaan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Pendekatan pemulihan aset akan terus diperhebat sepanjang tahun hadapan, selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan pada tahap maksimum dan memastikan pelaku rasuah benar-benar kehilangan hasil rompakan mereka.

“Masyarakat kini semakin peka dan bijak menilai, sekali gus menuntut pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam operasi, pencegahan serta pendidikan antirasuah di semua peringkat,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud; Timbalan-Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Pengarah-Pengarah Kanan dan Pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *