




Oleh: Sholina Osman
3 DIS. 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini memberi tumpuan kepada instrumen subsidiari bagi memperkukuh kewajipan Pemberi Perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kenyataan media MCMC memaklumkan bahawa ia sejajar dengan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025).
ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah, kandungan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan diri.
PERLINDUNGAN KANAK-KANAK
“Pendekatan baharu ini yang meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan, termasuk pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan terhadap kandungan memudaratkan,” kata kenyataan itu lagi.
MCMC menjalankan pengesanan dan permohonan penurunan kandungan secara berterusan kepada penyedia perkhidmatan media sosial.
Sebanyak 957 kes kandungan jelik kanak-kanak di media sosial dalam tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 November 2025 telah dikesan.
Daripada jumlah itu, 899 kandungan berjaya diturunkan oleh platform media sosial, mencatatkan kadar pematuhan 94 peratus, dengan platform paling responsif ialah Tumblr, TikTok, dan Facebook.
KESELAMATAN KANAK-KANAK
Dalam usaha mengutamakan keselamatan kanak-kanak dalam talian, MCMC memaklumkan kerjasama penguatkuasaan turut dipergiat melalui operasi bersama pihak polis.
Op Pedo 1.0 pada Disember 2024 membawa kepada penahanan 13 individu dan rampasan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.
“Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 (22-30 September 2025), yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi, termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” kata kenyataan tersebut.
Dalam aspek pendidikan awam, Kempen Internet Selamat (KIS) terus dipergiat dan terkini telah dilaksanakan di 8,454 institusi pendidikan, melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti. – JM
