





Kota Kinabalu, 29 November 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini meninjau keseluruhan perkembangan pembuangan undi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-17 Sabah.
Tinjauan tersebut berlangsung di Pejabat Pesuruhjaya Polis (PJP), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, diiringi PJP Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun bersama kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah. Turut hadir sama Pengarah Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri.
Dalam sesi tinjauan itu, KPN diberi taklimat komprehensif mengenai status semasa keselamatan, susun atur penugasan pegawai dan anggota di seluruh daerah, serta kesiapsiagaan logistik bagi menghadapi keperluan pengundian. Fokus utama adalah memastikan setiap pusat pengundian berada dalam keadaan terkawal, teratur dan di bawah pemantauan rapi PDRM.
Beliau juga menegaskan bahawa kesiapsiagaan PDRM pada kali ini adalah amat penting, memandangkan PRU merupakan proses yang melibatkan pergerakan besar-besaran orang awam serta potensi risiko keselamatan yang perlu ditangani secara proaktif.
PDRM Sabah komited memastikan setiap aspek keselamatan termasuk kawalan lalu lintas, pengurusan orang ramai dan respons kecemasan berada pada tahap tertinggi bagi menjamin perjalanan pilihan raya yang aman, lancar dan bebas daripada sebarang insiden tidak diingini.
Selain itu, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut meninjau beberapa lokasi strategik termasuk Pusat Pembuangan Undi di SJK (C) Chung Hwa, Jalan Lee Tet Phui, Pusat Bandar Kota Kinabalu, Kota Kinabalu. Beliau turut diberikan taklimat ringkas oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kassim Muda.
Beliau turut meluangkan masa menyantuni serta beramah mesra dengan anggota dan pegawai yang terlibat dalam penugasan PRU DUN Sabah ke-17.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), DCP Dato’ Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Abdul Rahman Kassim, Timbalan PJP Sabah, DCP Datuk Abdul Rani Alias, Ketua-ketua Jabatan/Formasi, Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis serta rakan media.
Jurugambar: Hal Ehwal Awam Jabatan Pengurusan dan D6 JSJ IPK Sabah
