


Oleh: Sholina Osman
11 NOV. 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima geran bernilai RM4,624,451.00 menerusi Dana Penyelidikan Fundamental (DPF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tahun 2025.
Dana tersebut untuk 26 projek Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) bernilai RM3,093,651.00, empat projek Skim Geran Penyelidikan Pembangunan Prototaip (PRGS) bernilai RM730,800.00, dan satu projek Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bernilai RM800,000.00.
Majlis penyerahan geran FRGS dan PRGS disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub, sempena Festival Idea Putrajaya (FOI 2025) di Putrajaya International Convention Centre (PICC), baru-baru ini.
Manakala, geran LRGS telah diserahkan pada 3 Oktober lalu sempena Sambutan Hari Akademia 2025 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
MEMBUKTIKAN KOMITMEN UNIVERSITI
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli, berkata pencapaian itu membuktikan komitmen universiti dalam memacu penyelidikan berimpak tinggi.
Jelas beliau geran ini memberi peluang kepada penyelidik kami untuk meneroka inovasi baharu yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, industri, dan pembangunan teknologi negara.
“Projek-projek yang diluluskan merangkumi pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, sains komputer, tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi pintar,” kata beliau dalam kenyataan media.
MENYOKONG PEMBANGUNAN PROTOTAIP
Tambah beliau dana berkenaan akan digunakan untuk memperkukuh serta menyokong pembangunan prototaip dan penyebaran hasil penyelidikan.
Zaliman berkata dengan perolehan geran ini, UniMAP mensasarkan untuk meningkatkan penerbitan penyelidikan dalam jurnal berindeks antarabangsa dan memperluas kerjasama dengan industri serta institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa.
“Kami yakin usaha ini akan menempatkan UniMAP sebagai antara universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia,” katanya.
KAPASITI PENYELIDIK MUDA
Selain itu, kata beliau program pembangunan kapasiti penyelidik muda dan latihan lanjutan akan diperkukuh untuk memastikan generasi penyelidik baharu UniMAP mendapat pendedahan yang mencukupi dalam penyelidikan berimpak tinggi.
“UniMAP juga akan menekankan kepentingan penyelidikan yang memberi kesan langsung kepada pembangunan masyarakat dan ekonomi,” tambah beliau.
Zaliman berkata pencapaian ini sekali gus dapat menonjolkan peranan UniMAP dalam menyokong agenda nasional bagi pembangunan ilmu dan teknologi. – JM
