Tanggungjawab menuntut ilmu satu amanah besar – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
9 NOV. 2025

Tanggungjawab menuntut ilmu merupakan satu amanah yang amat besar.

Ilmu bukan sahaja menjadikan seseorang insan itu berpengetahuan dan berkemahiran, malah turut membentuk akhlak mulia serta melatih diri menjadi individu yang mampu menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.

Sebagai seorang pelajar, tanggungjawab utama ialah menuntut ilmu dengan penuh kesungguhan.

Ilmu merupakan amanah yang bukan hanya terhad kepada diri sendiri, tetapi juga dipikul demi keluarga, masyarakat, negeri dan tanah air tercinta.

KEGIATAN KOKURIKULUM, SUKAN

Kecemerlangan akademik perlu disokong dengan penglibatan aktif dalam kegiatan kokurikulum, sukan, kelab, persatuan serta program kepimpinan sekolah.

Penglibatan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman, malah membina kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, keyakinan diri, kerjasama serta keupayaan berfikir secara kritikal dan bijak.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Sumbangan Pakaian dan Beg Sekolah sempena sedekad penganjuran program Jelajah ‘Kembali ke Sekolah’ di bawah payung inisiatif Nestlé Sayang Komuniti bersama rakan kerjasama iaitu Empire Project yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Panggau, Kangar.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Nestlé Malaysia, Raja Nurmaria Murni Raja Nur Azmi, Penasihat Program Empire BTS Perlis, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed dan Presiden yang juga Pengasas Empire Project, Ashraff Khan Md Najib.

MEMPERKASA GENERASI MUDA

Raja Nurmaria Murni, dalam ucapan aluan menzahirkan rasa syukur kerana dapat meneruskan misi memperkasa generasi muda melalui pendidikan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, program “Kembali ke Sekolah” telah memberi manfaat kepada lebih 16,300 pelajar di seluruh negara, dengan menyediakan kelengkapan asas untuk memulakan sesi persekolahan dengan semangat dan keyakinan baharu.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen ‘Nestlé Sayang Komuniti’, di mana warga Nestlé berganding bahu secara sukarela untuk memberi kesan positif kepada masyarakat selaras dengan matlamat membina komuniti yang berdaya maju dan mampan.

SET PAKAIAN LENGKAP

Melalui kolaborasi antara Nestlé Products Sdn. Bhd. dan Empire Project, seramai 170 pelajar Sekolah Kebangsaan Panggau, Kangar pada kali ini menerima sumbangan berupa set pakaian lengkap persekolahan dan beg sekolah jenama Canggih, selain barangan makanan keluaran Nestlé.

Dalam majlis berkenaan, Tuanku Raja Muda berkenan menyempurnakan simbolik perasmian serta mengurniakan beg “Back to School” kepada sepuluh pelajar terpilih.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha murni ini yang mencerminkan semangat keprihatinan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan dalam membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berjiwa prihatin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *