PMX batal lawatan kerja ke Pahang hari ini sebab masalah kesihatan

Oleh: Sholina Osman
Foto PMO
2 NOV. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Pahang yang telah dijadualkan hari ini disebabkan masalah kesihatan.

Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan pembatalan saat akhir ini dibuat atas nasihat pasukan perubatan setelah Perdana Menteri mengalami sakit belakang, yang menyebabkan pergerakan terbatas.

“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” kata kenyataan itu.

MEMOHON MAAF SETULUSNYA

Sehubungan itu Perdana Menteri memohon maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.

Hari ini, Anwar dijadual merasmikan Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh, sebelum ke Program Temu Anwar@UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang.

Selepas itu beliau akan menghadiri sesi ramah mesra bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan.

Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia pulang ke tanah air semalam setelah selesai menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Republik Korea. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *