Penyertaan Timor Leste ke ASEAN kukuhkan perkongsian semangat serantau – PMX

Wartawan JM
26 OKT 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan kemasukan bersejarah Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai satu detik penting bagi mengukuhkan lagi perkongsian semangat serantau serta masa hadapan negara anggota blok berkenaan.

Beliau berkata penyertaan Timor-Leste memberi makna baharu kepada visi ASEAN yang inklusif dan bersatu padu.

“Kemasukan Timor-Leste melengkapkan keluarga ASEAN – mengukuhkan lagi masa hadapan bersama bersama dan hubungan kekeluargaan serantau, ” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

PEMBANGUNAN SERTA AUTONOMI

Anwar berkata dalam komuniti ini, pembangunan serta autonomi strategik Timor-Leste akan menerima sokongan padu dan berterusan.

Semua negara anggota ASEAN menandatangani deklarasi berkenaan, iaitu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Presiden Indonesia Prabowo Subianto; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr.; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul; dan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; manakala Myanmar diwakili Setiausaha Tetap Kementerian Luar U Hau Khan Sum.

Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão menandatangani deklarasi yang memuktamadkan penyertaan rasmi negaranya ke dalam ASEAN.

TABUNG KEWANGAN ANTARABANGSA

Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Gianni Infantino, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) Carlos Felipe Jaramillo.

ASEAN yang ditubuhkan pada 1967 kini terdiri daripada ll anggota, iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Kemasukan Timor-Leste melengkapkan perwakilan Asia Tenggara, dengan Kemboja menjadi negara terakhir diterima masuk ke dalam blok itu pada 30 April 1999.

Timor-Leste memperoleh kemerdekaan pada 20 Mei 2002 dan pada 2011 negara ini secara rasmi memohon menyertai ASEAN. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *