






Oleh: Sholina Osman
24 OKT. 2025
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan ‘Buku Siri Asas Kanak-Kanak Muslim’.
Buku ini adalah hasil dan usaha untuk membina bahan pembelajaran agama yang menyeronokkan dan mudah difahami untuk murid berumur 7 hingga 12 tahun.
Buku ini akan digunakan melalui Program Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) dan menjadi kesinambungan kepada kejayaan Buku Tafsir Ringkas Faizuddin.
PROGRAM MAIPs PEDULI
Demikian dipersembah maklumkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas Baginda berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di sekitar Kampung Utan Aji, dekat Kangar baru-baru ini.
Turut dimaklumkan ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah meluluskan permohonan tambahan kuota guru KAFA di Perlis, iaitu tambahan seramai 50 orang yang diperlukan bagi kelas SIPs Pratahfiz dan Murid Berkeperluan Khas (MBK), bagi meningkatkan lagi mutu pengajaran di negeri ini dan menjadikan jumlah keseluruhan guru KAFA, 850 orang.
Program kayuhan amal ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang menggabungkan elemen sukan, kebajikan dan dakwah dalam satu pendekatan holistik, bertujuan mendekati umat Perlis khususnya golongan asnaf dan B40.
PENYAMPAIAN KASIH SAYANG
Aktiviti kayuhan santai ini bukan sekadar riadah, malah menjadi medium penyampaian kasih sayang dan keprihatinan terhadap rakyat.
Kayuhan MAIPs Peduli dilaksanakan secara berperingkat di setiap mukim di negeri Perlis, di mana setiap hentian kayuhan dijadikan platform untuk menyampaikan sumbangan zakat, bantuan pendidikan serta keperluan asas kepada penerima yang layak.
Sempena program kali ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada tiga penerima asnaf terpilih, iaitu Che Yah Hashim, 72 dari Kampung Surau Utan Aji, Melor Senapi, 77 dari Kampung Ujong Batu, dan Hashim Musa, 77 dari Kampung Surau Utan Aji.
Setiap penerima menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, bersama Kit MAIPs Peduli dan beras fidyah, sebagai simbol keprihatinan dan kasih sayang terhadap mereka yang memerlukan. – JM
