Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bakal catat sejarah baharu – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 OKT. 2025

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 kali ini bakal mencatat sejarah baharu bukan sahaja dengan kehadiran pimpinan dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat, Presiden Brazil dan Presiden Afrika Selatan, malah menandakan kebangkitan semula semangat ASEAN yang berpaksikan nilai kesederhanaan, solidariti dan kesejahteraan bersama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai Pengerusi, Malaysia akan memimpin dengan prinsip dan keyakinan selain terus mempertahankan Kepusatan ASEAN, memperkukuh perdagangan bebas, memperjuangkan keamanan serantau serta membawa suara Negara-Negara Selatan ke pentas global termasuk dalam isu Gaza di mana Malaysia konsisten menuntut keadilan, keamanan berkekalan dan maruah kemanusiaan.

“Saya bersama dengan Menteri Luar serta Ketua-Ketua Pengarang media tempatan dan antarabangsa malam tadi telah berkongsi pandangan awal mengenai fokus dan harapan terhadap penganjuran kali ini yang bukan sahaja penting kepada Malaysia, tetapi turut membawa manfaat besar kepada seluruh rantau ASEAN,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

PENTINGNYA MEMPERKUKUH DIALOG

Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia menegaskan pentingnya memperkukuh dialog dan persefahaman antara Thailand dan Kemboja dalam menangani isu-isu berbangkit selaras dengan semangat diplomasi damai dan perpaduan ASEAN.

Jelas beliau lagi Malaysia juga kekal menyokong usaha damai di Myanmar melalui pendekatan diplomasi berprinsip dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara demi keamanan dan kesejahteraan rakyatnya.

“Saya yakin kerjasama erat antara kerajaan dan media akan memperkukuh kefahaman rakyat terhadap peranan Malaysia sebagai negara yang memimpin dengan hikmah, berprinsip dalam pendirian dan berani memperjuangkan keadilan sejagat,” kata beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *