NADI MCMC dinobat penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat Melaka 2025

Oleh: Sholina Osman
20 OKT. 2025

Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), inisiatif di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali lagi mencatat kejayaan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Terbaik di Program MADANI Rakyat (PMR) Melaka 2025.

PMR ini telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan program ini menandakan kesinambungan usaha NADI dalam mendekati rakyat di seluruh negara.

“Bermula di Tawau, Sabah, siri PMR 2025 diteruskan ke lapan lokasi lain, dengan setiap edisi menampilkan pendekatan dan aktiviti yang berbeza untuk menarik minat pelbagai lapisan masyarakat,” kata kenyataan itu.

PENGALAMAN REALITI MAYA

Antara tarikan utama di reruai NADI termasuk pameran dron, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti robotik dan STEM melalui modul Tiny Techies serta pemeriksaan kesihatan jantung menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Al) – yang memperkenalkan teknologi terkini dengan cara yang mudah difahami oleh komuniti setempat.

Golongan belia turut menunjukkan penyertaan aktif melalui Kempen Internet Selamat (KIS) dan pertandingan e-Sukan NADI MADANI seperti Mobile Legends dan e-Football.

Dalam masa yang sama, Perkhidmatan Pintar NADI menarik perhatian dengan lima fokus utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan – bagi membantu masyarakat mempertingkatkan kemahiran digital dan ekonomi.

10,000 AHLI BAHARU

“Sepanjang siri PMR tahun ini, lebih 10,000 ahli baharu telah mendaftar dengan NADI, manakala lebih 15,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti interaktif dan pameran di reruai NADI di seluruh negara,” tambah kenyataan itu.

Kejayaan ini membuktikan sambutan hangat rakyat terhadap usaha berterusan MCMC melalui NADI dalam memperkasakan komuniti dengan kemahiran digital, akses teknologi dan maklumat, seiring dengan matlamat untuk merapatkan jurang digital serta meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia.

Anugerah berprestij ini disampaikan oleh Pengarah Seksyen Program Strategik, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zainuddin Mohd Noor kepada Ketua Pejabat NADI MCMC, Encik Mohd Arif Adenan.

KATEGORI “CAPACITY BUILDING”

Lebih membanggakan, kejayaan ini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila inisiatif NADI memenangi kategori “Capacity Building” di World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva pada Julai lalu.

Pengiktirafan ini menonjolkan NADI sebagai contoh terbaik pelaksanaan pusat maklumat komuniti di Pulau Banggi, Sabah yang berjaya memperkasa penduduk luar bandar agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi digital.

Kini, terdapat 1,099 pusat NADI di seluruh negara dengan keahlian melebihi 1.8 juta orang.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi 1 DUN 1 NADI, yang bertujuan memperluas capaian maklumat dan memperkasa komuniti digital di setiap kawasan seluruh Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *