NCER berjaya realisasikan pelaburan mencecah RM58.39 bilion – PMX

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
15 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah berjaya merealisasikan pelaburan mencecah RM58.39 bilion serta mencipta hampir 16,000 peluang pekerjaan bagi tempoh sehingga September tahun ini.

“Pencapaian tersebut dimaklumkan semasa saya mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Ke-34 pada pagi tadi,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Bagi tempoh tersebut, beliau berkata NCIA turut memudahcara pelaburan-pelaburan berimpak tinggi dan memberi tumpuan dalam membangunkan industri semikonduktor berteknologi tinggi menerusi program APIRC@NTIC dan menerokai potensi projek pelancongan berimpak tinggi yang dipacu oleh pelaburan swasta.

MENELITI FOKUS STRATEGIK

Anwar berkata mesyuarat turut meneliti fokus strategik NCER di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 antara lain melibatkan industri semikonduktor berteknologi tinggi, pelancongan berimpak tinggi, Taman industri tematik NCER, Pembangunan Zon Khas Ekonomi Tenaga Boleh Baharu dan Zon Ekonomi Sempadan Malaysia-Thailand.

“Penting untuk dipastikan semua perancangan NCER selaras dengan matlamat yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-13, Belanjawan 2026 serta dasar-dasar utama lain seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *