






Oleh: Sholina Osman
4 OKT. 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyantuni delegasi daripada enam wilayah Andaman, Thailand dalam sebuah majlis yang berlangsung di Dewan Kuliyyah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pengkalan Asam, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
Delegasi berkenaan terdiri daripada wakil wilayah Krabi, Phuket, Satun, Phang Nga, Ranong dan Trang yang hadir ke Negeri Perlis bersempena Sesi Libat Urus Garis Panduan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Negeri Perlis Tahun 2025.
DIKETUAI OLEH PENASIHAT
Delegasi ini diketuai oleh Penasihat Andaman Islamic Committee Leaders Federation Thailand merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Krabi, Asnawi Mukura.
Turut serta ialah Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Phuket, Somdech Mankarn; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Satun, Nuruddin Yayaman, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Phang Nga, Prasert Prasankan, Setiausaha Majlis Agama Islam Ranong, Yuranan Manjit; serta Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Trang, Banleur Muaddewa.
Dalam ucapannya, Mohd Nazim menyatakan harapan agar sesi perkongsian pengurusan fail yang dilaksanakan oleh JAIPs menjadi manifestasi kepada usaha memperkukuh tadbir urus Islam merentasi sempadan.
MENJAGA KEPENTINGAN AGAMA
“Sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawabkan dalam hal ehwal Islam, aspek menjaga kepentingan agama perlu sentiasa diberi keutamaan agar perkhidmatan terbaik dapat disampaikan demi kepentingan agama dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya,” ujar beliau.
Hubungan erat antara Negeri Perlis dan enam wilayah Andaman di selatan Thailand ini sekali lagi diperteguh melalui lawatan bersejarah tersebut, meliputi bukan sahaja aspek keagamaan, bahkan turut mencakupi pendidikan Islam serta pembangunan masyarakat Muslim secara menyeluruh.
Dalam hubungan ini, MAIPs sentiasa komited dalam memastikan perkongsian ilmu dan kepakaran serta pengalaman dapat dilaksanakan, sejajar dengan hasrat kemakmuran bersama dan hasilan impak yang positif kepada komuniti dua negara. – JM
