PMX terima kunjungan hormat daripada Anthony Tan, pengasas bersama dan CEO Grab, delegasi

Wartawan JM
Foto Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 OKT. 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Anthony Tan, Pengasas-bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Grab Holdings Inc. (Grab) serta delegasi petang tadi.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan termasuklah pemberian had kelayakan tambahan kepada pemandu e-hailing susulan pelaksanaan BUDI95.

“Saya mengambil maklum pandangan yang disampaikan dan Kerajaan akan membantu pemandu e-hailing, selaras peranan penting mereka dalam sistem pengangkutan awam negara,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Beliau berkata, mereka turut membincangkan peranan lebih besar syarikat multinasional seperti Grab untuk bersama-sama dalam usaha melakar masa depan ekonomi Malaysia, termasuk penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dan pembangunan kapasiti dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kerajaan akan terus menyokong inisiatif dan komitmen sebegini agar manfaat teknologi dan ekonomi digital dapat dinikmati bersama, sekaligus memastikan kemajuan bergerak seiring dengan peningkatan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *