12 Rakyat Malaysia sah ditahan Rejim Israel!

Petikan FB Dato’ Setia Dr Naim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
2 OKT. 2025

Tepat jam 1:58 pagi waktu Malaysia malam tadi, kapal-kapal Global Sumud Flotilla telah memasuki kawasan yang digelar Zon Merah, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.

Zon ini sejak awal lagi telah diketahui sebagai kawasan paling berisiko, di mana tentera laut Israel sentiasa menunggu peluang untuk melakukan serangan dan menahan mana-mana kapal yang cuba membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Beberapa jam selepas itu, laporan mula masuk daripada pelbagai media antarabangsa. Dilaporkan enam buah kapal telah disekat dan diambil alih sepenuhnya oleh tentera Israel. Laporan lain menyatakan sembilan kapal diserang dan 13 kapal lain terpaksa menghantar isyarat kecemasan.

PALING KITA TAKUTI

Dalam keadaan penuh cemas ini, kerajaan Malaysia akhirnya mengesahkan khabar yang paling kita takuti: seramai 12 rakyat Malaysia kini telah ditahan secara tidak sah oleh rejim Israel di perairan antarabangsa.

Kapal Hio: Heliza Helmi, Hazwani Helmi

Kapal Grande Blu: Norfarahin Romli (Farah Lee), Danish Nazram

Kapal Huga: Zizi Kirana

Kapal Sirius: Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli

Kapal Alma: Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Sul Aidil.

Kesemua mereka kini berada dalam tahanan rejim Israel, dirampas hak dan kebebasannya di tengah lautan antarabangsa.

MENCABULI UNDANG-UNDANG

Tindakan ini bukan sahaja mencabuli undang-undang maritim dunia, malah merupakan satu penghinaan kepada nilai kemanusiaan yang paling asas.

Mereka bukan penjenayah. Mereka adalah sukarelawan, anak-anak muda dan insan-insan terpilih yang nekad berjuang meninggalkan keluarga serta tanah air demi membawa mesej solidariti dan bantuan ke Gaza. Namun malam tadi, keberanian mereka dibalas dengan kekerasan.

Inilah saat genting yang menuntut kita semua untuk bersatu hati. Marilah kita berdoa agar kesemua 12 rakyat Malaysia ini dilindungi Allah SWT, dilepaskan dari cengkaman kezaliman, dan agar seluruh armada Sumud Flotilla ini selamat meneruskan perjalanan mereka ke bumi Palestin.

‎حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ

“Cukuplah Allah menjadi penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.

Semoga Allah memberi perlindungan dan kekuatan kepada mereka yang ditahan, dan semoga dunia tidak berpaling daripada kebenaran yang sedang dipijak. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *