Malaysia-Indonesia noktah satu lagi lembaran penting dalam hubungan strategik – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
31 JULAI 2025

Malaysia-Indonesia menoktahkan satu lagi lembaran penting dalam hubungan strategik antara dua bangsa serumpun setelah pelbagai isu telah dirungkai secara tegas, berani dan berhemat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata daripada penyelesaian mengenai sempadan maritim dan darat yang tertangguh sejak 45 tahun lalu, hingga kepada pemeteraian pelaburan rentas sempadan di sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital, dan keterjaminan makanan yang membawa maksud bahawa ia bukan sekadar proses diplomatik biasa, tetapi satu iltizam kenegaraan yang berpasak pada pragmatisme.

“Kita sepakat bahawa penyelesaian sempadan adalah lambang kedaulatan dan keyakinan bersama,” kata beliau selepas hadir pada majlis Perundingan Tahunan Ke-13, Malaysia dan Indonesia di Jakarta.

TEGUH DALAM KOMITMEN

Perdana Menteri berkata Malaysia-Indonesia teguh dalam komitmen untuk mengangkat dan membela nasib nelayan, pekerja migran, komuniti sempadan dengan kebijakan yang berpihak pada maruah dan kemanusiaan.

Justeru, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serikin akan menjadi pemangkin baharu kepada kesejahteraan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan.

Beliau berkata acara rundingan ini turut memungkinkan kerjasama masa depan yang lebih mendalam dalam bidang kesihatan, pendidikan tinggi, industri halal, serta pendigitalan.

MERINTIS HALA TUJU

“Ia pastinya akan menyumbang ke arah pengukuhan hubungan dua negara, selain merintis hala tuju masa depan ASEAN yang lebih bersatu dan bersedia mendepani cabaran global, dari Myanmar hingga Gaza,” tambah beliau.

Dalam kerangka ASEAN, kata Perdana Menteri, Malaysia akan terus memainkan peranan yang proaktif dalam mendepani konflik serantau dengan ketegasan dan hikmah, seperti yang terjelma dalam Mesyuarat Khas Kemboja-Thailand di Kuala Lumpur semalam.

Dunia tentunya memerhati, dan Malaysia tidak akan berganjak dari prinsip keadilan, keamanan dan budaya wacana yang sihat.

“Mesti ditegaskan bahawa Malaysia tidak akan memilih jalan selesa dan sekadar reaktif.

Kita memimpin dengan agenda yang jelas, membina dengan nilai, dan bergerak atas kekuatan prinsip,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *