UniSIRAJ melalui MAIPs jalin kerjasama dengan Umma University, Kenya perkukuh jaringan pendidikan

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
30 JULAI 2025

Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjalin kerjasama strategik dengan Umma University, Kenya dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan Islam antarabangsa serta memperluas kolaborasi akademik dan pembangunan sumber manusia berteraskan nilai-nilai Islam.

Menurut kenyataan MAIPs hari ini (27 Julai) perbincangan rasmi telah berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi melibatkan delegasi tertinggi Umma University yang diketuai oleh Canselor, Dr. Abbas Gullet, bersama tiga pegawai kanan satu-satunya universiti Islam di Kenya tersebut iaitu Naib Canselor, Dr. Halima Saado Abdillahi; Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Hal Ehwal Pelajar), Dr. Ali Khamah; dan Timbalan Naib Canselor (Perancangan, Pentadbiran dan Kewangan), Dr. Ali Abdullah.

Berkenan menerima mengadap ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang DiPertua MAIPs yang juga Canselor UniSIRAJ) dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut mengiringi baginda berdua adalah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail Al-Haj.

Delegasi MAIPs disertai Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor.

TELAH BERKEMBANG PESAT

Menurut Dr. Abbas, Umma University yang ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai Thika College for Sharia and Islamic Studies oleh tokoh terkenal Dr. Abdulrahman Al‑Sumait melalui Africa Muslim Agency (kini dikenali sebagai Direct Aid International), telah berkembang pesat sebagai institusi pengajian tinggi Islam terkemuka di rantau Afrika Timur.

Ia memperoleh Piagam Universiti penuh daripada Presiden Kenya pada 18 Oktober 2019 dan kini beroperasi dengan kampus utamanya di Kajiado serta kampus asal di Thika.

Umma University kini menawarkan pelbagai program diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah dalam bidang Syariah, Undang-undang, Pendidikan, Perniagaan dan Kejururawatan.

Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk perpustakaan moden, makmal, asrama pelajar, fasiliti ICT dan pusat sukan.

BEBERAPA BENTUK KERJASAMA

Dalam sesi perbincangan, beberapa bentuk kerjasama yang dicadangkan meliputi, Program pertukaran pelajar dan pensyarah antara Umma University dan UniSIRAJ yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs, Kolaborasi penyelidikan, penganjuran persidangan antarabangsa bersama, serta penerbitan jurnal ilmiah.

Dalam majlis tersebut, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) bagi memulakan langkah ke arah pelaksanaan kerjasama ini.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Ruzaimi Mohamad, Syarafina Adilah Ahmad Nasir, Setiausaha Kedua, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi dan Omar Mohamed, Pengarah Educate International.

Kerjasama ini menandakan satu lagi pencapaian penting MAIPs dalam memperkukuh peranan globalnya dalam bidang pendidikan Islam dan pembangunan masyarakat berasaskan nilai rahmatan lil ‘alamin. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *