





Oleh: Sholina Osman
Foto FB Saifuddin Nasution Ismail
30 JULAI 2025
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memohon tambahan peruntukan lebih RM500 juta bagi menperkukuhkan operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pengurusan pusat-pusat pemulihan penagih.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pada tahun ini, Kerajaan memperuntukkan RM480 juta pengoperasian AADK.
Beliau berkata, dari aspek penguatkuasaan, kita memiliki beberapa akta yang kukuh – termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah.
HUKUMAN LEBIH BERAT
“Kedua-dua akta ini telah dipinda tahun lalu bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pengedar dan sindiket,” katanya ketika berucap Sempena Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah 2025 di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 25 Julai 2025.
Saifuddin berkata, memang diakui, cabaran logistik masih wujud.
“Sebanyak 80 peratus bekalan dadah masuk ke Malaysia melalui jalan laut,” katanya.
Beliau berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini bertanggungjawab mengawal kawasan seluas 680,000 kilometer persegi.
KAPAL YANG TERHAD
“Dengan bilangan helikopter dan kapal yang terhad, kita telah memohon penambahan peralatan daripada Perdana Menteri. Syukur, permohonan kita telah mendapat perhatian,” katanya.
Saifuddin berkata, Kerajaan juga memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui perkongsian risikan dan operasi serantau bersama ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Berdasarkan kadar penagihan
setiap 100,000 penduduk, antara daerah paling terkesan ialah Pendang (Kedah), Kuala Krai (Kelantan), dan Bachok (Kelantan),” katanya.
Manakala dari segi negeri, beliau berkata Terengganu mencatat kadar tertinggi, diikuti Perlis, Kelantan dan Kedah.
Sehubungan itu katanya, setiap pemimpin di semua peringkat – sama ada di peringkat kerajaan, masjid, komuniti, atau sekolah – perlu
terlibat secara aktif. – JM
