






Wartawan JM
26 JUN 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Japarov menyaksikan pertukaran 10 dokumen penting antara Malaysia dan Kyrgyzstan.
Ia merangkumi bidang pelancongan, perdagangan, pendidikan tinggi, kesihatan, transformasi digital, belia, latihan diplomat dan kerjasama institusi strategik.
“Dalam sidang media bersama, saya tegaskan bahawa lawatan rasmi ini, yang pertama dalam tempoh tiga dekad, mencerminkan iltizam bersama untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih kukuh dan bermakna,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
SEPAKAT MEMPERLUAS KERJASAMA
Perdana Menteri berkata, mereka sepakat memperluas kerjasama dalam pelaburan, pembinaan, perbankan Islam dan tenaga boleh diperbaharui, termasuk usaha mewujudkan bank Islam dan pelan tindakan halal.
“Malaysia turut meneliti potensi Kyrgyzstan dalam bidang tenaga hidro dan teknologi hijau,” kata beliau.
Anwar berkata, pertukaran pelajar, pensyarah dan latihan teknikal di bawah Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) akan diperkasa demi memperkukuh jaringan antara rakyat dan membuka lebih banyak peluang pendidikan rentas budaya.
MENEROKA KERJASAMA BAHARU
“Kami juga senada tentang keperluan meneroka kerjasama baharu dalam bidang-bidang kritikal seperti kesihatan, keselamatan siber, transformasi digital dan pembangunan belia,” tambah beliau.
Jelas Perdana Menteri, antara yang dibincangkan isu genosid di Gaza si mana Malaysia dan Kyrgyzstan sepakat dengan pendirian pendirian tegas menolak penjajahan dan kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, serta menekankan pentingnya solidariti ummah dalam mendepani isu ini.
“Saya hargai kesungguhan Presiden Japarov dalam memperkukuh hubungan ini,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Malaysia akan terus menjadi rakan yang komited dan diyakini demi manfaat bersama dan masa depan yang lebih terjamin untuk kedua-dua negara. – JM
