


Oleh: Sholina Osman
19 JUN 2025
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil langkah tegas dengan memfailkan tindakan sivil
terhadap dua saluran di platform Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas”.
Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan kedua-dua saluran ini dikenal pasti menyebarkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya kerana Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [“ASP(C)”],” kata kenyataan itu lagi.
KEGAGALAN SERIUS TELEGRAM
MCMC menjelaskan ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulangkali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh MCMC.
Akibat tahap pematuhan yang tidak memuaskan, MCMC telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir bagi menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan-kandungan seumpamanya.
“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” kata kenyataan tersebut.
UNTUK MENGEMUKAKAN PEMBELAAN
Pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan
pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
MCMC sebagai badan kawal selia ingin mengingatkan bahawa semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan
di ruang digital masing-masing.
Malah MCMC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama untuk platfform lain juga bagi memastikan keselamatan dan
kesejahteraan pengguna terus terpelihara.
Sehubungan itu kata kenyataan itu MCMC kekal komited dalam memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang. – JM
