Rakyat Malaysia dinasihat segera tinggalkan Iran – Wisma Putra

Wartawan JM
18 JUN 2025

Rakyat Malaysia yang berada di Iran dinasihat segera meninggalkan negara tersebut melalui apa jua kaedah selamat dan tersedia.

Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.

“Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, sedang memantau rapi perkembangan keselamatan di Republik Islam Iran,” kata kenyataan itu lagi.

Usaha ini telah dipertingkatkan susulan tindakan agresif rejim Israel terhadap Iran pada 13 Jun 2025 yang telah memburukkan lagi ketegangan secara ketara di rantau tersebut.

KESELAMATAN DAN KEBAJIKAN

Kenyataan itu menambah sehingga kini keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan Kementerian ini.

Pada masa ini, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran berterusan berhubung rapat dengan semua rakyat Malaysia yang telah berdaftar di Iran.

Kesemua mereka telah disahkan selamat dan telah dinasihatkan untuk meninggalkan Iran dengan segera.

Kedutaan Besar Malaysia akan terus menyediakan bantuan konsular yang diperlukan bagi memudahkan proses perjalanan mereka dari Tehran.

BOLEH HUBUNGI KEDUTAAN

Sekiranya berlaku kecemasan, rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI TEHRAN, IRAN di No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb.

Nombor telefon: +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602

E-mel:mwtehran@kin.gov.my / mwconsular.teh@gmail.com

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian ini telah mengaktifkan Bilik Gerakan berkuat kuasa mulai
17 Jun 2025.

Ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia yang berada di Iran boleh menghubungi Kementerian bagi mendapatkan maklumat lanjut di +603 8887 4570 atau melalui e-mel di dutyofficer@kln.gov.my. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *