
6 JUN 2025
Malaysia beriltizam untuk terus bekerjasama rapat dengan Turkiye, terutamanya dalam membentuk satu kesatuan strategik yang mampu membawa suara umat ke tengah pentas dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam semangat Aidiladha—pengorbanan, keteguhan dan keyakinan terhadap seruan Ilahi—Malaysia akan terus berdiri bersama Turkiye dalam memungkinkan sebuah dunia yang lebih aman, adil dan menjunjung tinggi nilai kemanusiaan.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima panggilan telefon daripada sahabat dan juga Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan petang tadi bagi menyampaikan salam sempena sambutan Eid al-Adha.
PENGHARGAAN KEPADA BELIAU
“Saya lantas menyatakan penghargaan kepada beliau atas suara dan pendirian teguh beliau yang konsisten dalam memperjuangkan suara warga Palestin yang tertindas,” katanya dalam hantaran di FB.
Jelasnya, kedua negara sepakat bahawa saat dunia masih memilih untuk membisu dan bersikap selektif terhadap penderitaan rakyat Gaza, kita tidak boleh berpeluk tubuh.
“Malaysia tentunya menyambut baik dan mendukung penuh pendirian Presiden Erdoğan untuk menggunakan segala wahana dan keupayaan yang ada bagi membela hak dan maruah rakyat Palestin,” katanya.
MENGENAI KUNJUNGAN RASMI
Anwar berkata, keduanya juga berbicara mengenai kunjungan rasmi Presiden Erdoğan ke Malaysia baru-baru ini yang tidak hanya membekas, malah memperkukuh asas hubungan dua hala yang telah lama terjalin.
Beliau berkata, ia merupakan antara lawatan paling berjaya dan bermakna dalam sejarah diplomatik negara—tidak sekadar pertukaran protokol—tetapi turut disulami dengan rundingan yang substantif yang menyentuh kepentingan bersama.
“Saya melihat kunjungan itu sebagai manifestasi keserasian nilai dan hala tuju yang jitu kedua-dua negara dalam menjunjung keadilan, kedaulatan dan pembangunan umat sejagat,” katanya. – JM