





Oleh: Sholina Osman
1 JUN 2025
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A Aziz Deraman Siri I – Siri III, di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Keberangkatan Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda Baginda berdua iaitu Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Anwar Ridhwan dan barisan pengurusan tertinggi DBP.
MEMPUNYAI TIGA SIRI
Buku himpunan ucapan dan asas pemikiran yang mempunyai tiga siri ini telah dikumpulkan sejak A. Aziz mula menerajui DBP iaitu dari tahun 1994 hingga tahun 1999.
Buku ini dibahagikan kepada empat tema utama, iaitu Wadah Bahasa Melayu Asas Pembinaan Tamadun; Wadah Sastera Cerminan Akal Budi; Wadah Budaya Teras Jati Diri serta Wadah Pengurusan Pentadbiran, Imej Terpelihara Organisasi Hebat.
Beliau yang pernah menjadi Ketua Pengarah DBP sehingga menamatkan khidmatnya pada tahun 2004, juga merupakan penulis dan penggiat sastera menghasilkan esei, puisi dan artikel.
DITERBITKAN OLEH DBP
Antara buku lain hasil penulisan A. Aziz yang diterbitkan oleh DBP ialah Asas Pemikiran Kebudayaan Malaysia, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Globalisasi dan Peradaban di Malaysia serta Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia.
Sebelum acara pelancaran, diadakan Bicara Buku Wadah dan Madah Jalur Pemikiran A. Aziz Deraman Siri I hingga Siri IlI yang menampilkan A. Aziz dan Prof. Dr. Hashim Ismail sebagai panel serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Roziah Md Yunus bertindak selaku moderator.
Pada majlis yang sama turut diadakan majlis pelancaran buku “Perlis Food Promotion” terbitan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan buku Gutsy Asian. – JM