





31 MEI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan Dialog Shangri-La, amat penting untuk mencari titik persefahaman ketika dunia berdepan pelbagai cabaran global.
Beliau berkata, ASEAN tidak terkecuali daripada tempias perubahan teknologi, ketidaktentuan ekonomi, arus globalisasi, pergolakan perdagangan dan ketegangan geopolitik.
“Sekaligus ASEAN terus mempertahankan kedudukannya melalui kerjasama erat, ketahanan bersama, dan pelaksanaan hak menentukan halatuju sendiri secara konsisten,” katanya dalam hantaran di FB.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Khas pada Dialog Shangri-La, di Singpura.
SISTEM PERDAGANGAN TERBUKA
Perdana Menteri berkata, komitmen ASEAN terhadap sistem perdagangan terbuka, telus dan berasaskan peraturan bukanlah kerana ia mudah, tetapi kerana ia satu keperluan demi kelangsungan rantau ini.
Beliau berkata, kestabilan di benua ASEAN adalah tunjang utama dan ia perlu dibina atas asas yang kukuh, dasar yang jelas dan wawasan jangka panjang demi menjamin keamanan yang berkekalan,
“Di pentas yang sama, saya juga mendesak masyarakat antarabangsa supaya bertindak tegas dan konsisten dalam menangani pembunuhan beramai-ramai di Gaza, tidak cukup sekadar bersimpati sahaja,” katanya. – JM
