

27 MEI 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Premier China Li Qiang bagi memperkukuh kerjasama strategik melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China demi kepentingan bersama.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, menghargai komitmen China dalam memperkukuh kerjasama serantau dan hubungan dua hala terutama dalam menghadapi cabaran global dan perubahan geopolitik semasa.
“Sinergi antara kedua negara penting untuk dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, teknologi, projek infrastruktur dan pengangkutan seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menangani pertikaian di Laut China Selatan, mengemaskini perkembangan perjanjian Protokol Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), industri halal dan perdagangan,” katanya dalam hantaran di FB.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 mencerminkan usaha Malaysia dalam memimpin benua ini dengan matlamat memperkukuh kesepaduan, memacu kerjasama ekonomi dan menangani isu serantau secara diplomatik dan pragmatik. – JM
