







27 MEI 2025
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
meraikan para isteri kepada pemimpin kerajaan dan negara ASEAN dalam Program Pasangan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang telah berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Dalam majlis yang penuh bermakna ini, Dr Wan Azizah turut memperkenalkan kekayaan dan keindahan warisan kesenian Malaysia menerusi demonstrasi kraf tempatan oleh Kraftangan Malaysia.
“Para tetamu dan delegasi diberi peluang menyaksikan secara dekat proses pewarnaan batik, sulaman tekat benang emas, serta teknik tradisional pembuatan wau lambang kehalusan seni warisan bangsa,” katanya dalam hantaran di FB.
PAMERAN EKSKLUSIF SONGKET
Dr Wan Azizah berkata, majlis turut diserikan dengan pameran eksklusif songket dan telepuk yang dikelolakan oleh Yayasan Hasanah, serta pameran orkid VIP oleh Perbadanan Putrajaya.
Majlis jamuan makan tengah hari pula diserikan dengan persembahan Choral Speaking oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama, tarian tradisional oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor, dan iringan muzik daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Kehadiran para tetamu turut disambut meriah dengan paluan gendang dan kibaran bendera oleh murid-murid sekolah rendah sekitar Putrajaya, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.
“Semoga hubungan baik dan semangat kekeluargaan ASEAN terus diperkukuhkan demi mengangkat martabat rantau ini ke tahap yang lebih gemilang,” katanya. – JM
