





26 MEI 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan belia bukan sekadar pewaris masa depan, namun bertindak selaku rakan setara dalam membentuk masa depan ASEAN.
Beliau berkata, suara, semangat, dan daya juang mereka adalah denyut nadi kepada hala tuju rantau kita.
“Golongan belia ASEAN adalah aset paling berharga dan pembawa harapan serta keberanian dalam menghadapi tantangan semasa antaranya akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan yang setara, impak perubahan iklim, dan cabaran serta peluang daripada revolusi kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam hantaran di FB.
Sebelum itu, Perdana Menteri bersama para pemimpin ASEAN berpeluang mengadakan sesi libat urus bersama delegasi belia ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
MESTI DIBERI PERANAN
Anwar berkata, jangan menidakkan peranan mereka, sebaliknya golongan ini mesti diberi peranan sewajarnya di barisan hadapan.
Dalam dunia yang sedang berubah pantas, kreativiti, keberanian dan idealisme anak muda adalah kekuatan yang tidak ternilai.
Rangka Kerja Pelan Tindakan Belia ASEAN menjadi panduan kita untuk menangani isu-isu kritikal ini.
“Saya dan seluruh pimpinan ASEAN beriltizam untuk memastikan pandangan dan idea golongan beliau rantau ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya. – JM
