AIPA buka ruang satukan suara rakyat melalui institusi Parlimen – PMX

26 MEI 2025

Sesi Libat Urus antara Pemimpin ASEAN dan wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) boleh membuka ruang untuk menyatukan suara rakyat melalui institusi Parlimen dalam usaha memacu kemajuan Komuniti ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan peranan AIPA sebagai rakan strategik ASEAN dalam menjayakan aspirasi rakyat, memperkukuh tiga tonggak utama kerjasama serta mempertingkat daya tahan dan kesiapsiagaan rantau ini.

“Saya turut mengalu-alukan komitmen AIPA terhadap isu-isu utama seperti keselamatan makanan, perubahan iklim, transformasi digital dan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif,” katanya dalam hantaran di FB.

SEMASA MENYAMPAIKAN UCAPAN

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pembukaan dalam sesi Libat Urus antara Pemimpin ASEAN dan wakil AIPA di Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Beliau berkata penyelarasan dasar dan perundangan di peringkat nasional dan serantau amat penting bagi memastikan agenda ini direalisasikan.

Dalam menyusun dasar dan hala tuju rantau ini, katanya suara komuniti yang diangkat melalui wakil rakyat harus terus menjadi keutamaan.

“Inilah semangat ASEAN yang perlu digarap untuk memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar berakar pada aspirasi rakyat,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *