PMX seru pimpinan dan anggota parti terus mengangkat tinggi prinsip keadilan

25 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru dengan penuh keinsafan dan harapan agar pimpinan dan anggota parti terus mengangkat tinggi prinsip keadilan, memperkukuh integriti, dan dengan tegas menolak politik sempit berasaskan perkauman serta fitnah yang menjadi mainan pihak pembangkang.

Beliau berkata, KEADILAN bukan sekadar sebuah parti politik ia adalah sebuah wadah perjuangan yang dibina atas keringat, air mata, dan keyakinan rakyat abahawa negara ini mampu diurus dengan lebih adil, saksama, dan berprinsip.

“Justeru, kesetiaan kita tidak harus berpaksi kepada individu, sebaliknya kepada idealisme perjuangan ini,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau berucap di Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 di Johor Bahru.

KITA BANGKIT BERSAMA

“Ayuh kita bangkit bersama, bergerak sederap, dan mengukuh kembali saf perjuangan agar kita lebih bersedia menghadapi medan pilihan raya yang penuh cabaran,” katanya.

“Menjawab dakwaan nepotisme yang dimainkan sesetengah pihak, saya menghimbau kembali saat Azizah tampil menakhodai parti ini di waktu paling getir, tatkala seluruh instrumen kekuasaan digunakan untuk memadam obor perjuangan KEADILAN,” katanya.

Ketika itu, katanya tidak kedengaran sebarang suara melontarkan tuduhan nepotisme.

Namun kata Anwar apabila Nurul Izzah mara menerusi proses demokratik dan meraih sokongan anggota parti secara terbuka, tuduhan ini tiba-tiba dimainkan.

TIDAK BOLEH TERPERANGKAP

“KEADILAN tidak boleh terperangkap dalam naratif musuh,” katanya.

Beliau berkata, kewibawaan Nurul
Izzah, seperti mana pimpinan lain, wajar dinilai dengan adil berasaskan kekuatan dan sumbangannya pada perjuangan kita.

“Kita mesti tegas melawan naratif yang cuba memutarbelit perjuangan kita. Kita tidak takut diuji, kerana KEADILAN lahir daripada ujian. Kita tidak gentar dikecam, kerana KEADILAN diasaskan atas keberanian untuk melawan kezaliman dan ketidakadilan,” tegas Anwar.

Sehubungan itu katanya, KEADILAN akan terus menjadi suara rakyat dengan mengangkat agenda ekonomi yang membela golongan rentan, meroboh tembok penindasan dan tekal memacu reformasi serta tadbir urus yang lebih telus, bersih dan berwibawa.

Perjuangan ini belum berakhir. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *