Malaysia sambut baik perluas dagangan dua hala, pelaburan baharu dengan Rusia – PMX

16 MEI 2025

Malaysia menyambut baik usaha memperluas dagangan dua hala serta menarik pelaburan baharu dari Rusia, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi seperti aeroangkasa, AI dan ekonomi digital.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengangkat potensi besar hubungan antara rakyat termasuk pertukaran pelajar, biasiswa, pengembangan program pengajian Melayu, serta kerjasama TVET dan sains teknologi.

“Sebagai usaha memperkukuh keterhubungan, Malaysia mahu syarikat penerbangan Rusia termasuk Aeroflot menyambung semula laluan terus ke Malaysia sesegera mungkin bagi merancakkan pelancongan dan pertukaran budaya,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin yang berlangsung dalam suasana yang cukup bermakna membabitkan dua negara yang terus mencari titik temu demi masa depan yang lebih aman dan makmur.

PENGHARGAAN ATAS LAYANAN

“Saya suarakan penghargaan atas layanan yang sangat baik sepanjang lawatan ini,” katanya

Beliau menjelaskan Rusia bukan sekadar sebuah kuasa besar, tetapi sebuah peradaban yang kaya dengan sejarah perjuangan, budaya, sastera dan seni.

Kekaguman beliau terhadap Rusia lahir bukan hanya dari hubungan diplomatik, tetapi daripada pemahaman terhadap ketabahan rakyatnya.

“Kami berbincang secara menyeluruh mengenai kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pendidikan, tenaga, teknologi digital, pertahanan dan keselamatan siber,” katanya.

Anwar berkata, dalam semangat keterbukaan dan saling menghormati, beliau turut membawa suara rakyat Malaysia berhubung tragedi MH17.

BANGKITKAN PERKARA INI

“Saya bangkitkan perkara ini secara terus kepada Presiden Putin dan
Malaysia kekal berpendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus ditegakkan secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Anwar turut nyatakan pendirian konsisten Malaysia dan ASEAN dalam mendepani isu geopolitik, yakni menolak tindakan unilateral dan berpegang pada kepusatan ASEAN.

Beliau berkata, prinsip kedaulatan, integriti wilayah dan penyelesaian secara aman adalah asas utama dalam dasar luar Malaysia dan negara serantau.

“Saya nyatakan bahawa Malaysia akan terus memainkan peranan yang berprinsip dalam kerangka multilateralisme,” katanya.

PERLU DIBERI RUANG

ASEAN dan negara-negara Selatan Global perlu diberi ruang untuk menentukan hala tuju sendiri, tanpa dipaksa untuk memihak dalam persaingan kuasa besar.

Beliau turut rakamkan penghargaan kepada Presiden Putin atas sokongan terhadap hasrat Malaysia menyertai BRICS.

Kami percaya BRICS mampu menjadi saluran baharu untuk kerjasama pembangunan yang lebih adil dan seimbang bagi negara-negara membangun.

Di akhir pertemuan, Anwar menjemput Presiden Putin untuk berkunjung ke Malaysia sama ada dalam masa terdekat atau sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober ini.

Kehadiran beliau akan menjadi pemangkin penting ke arah hubungan dua hala dan kerjasama serantau yang lebih utuh. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *