Dua NADI jadi perintis hantar ubat guna dron di pedalaman Sabah

Oleh: Sholina Osman
12 MEI 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan fasa pertama penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron dijangka akan bermula pada suku keempat 2025 yang akan dirintis oleh dua buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) termasuk di Tawau, Sabah.

Beliau berkata demikian ketika melawat reruai NADI semasa menyempurnakan Program MADANI Rakyat (PMR) di Tawau, Sabah.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) juga memaklumkan projek rintis ini akan diperluaskan ke 150 buah NADI pada tahun 2026 dan disempurnakan kepada keseluruhan 392 buah NADI menjelang tahun tahun 2027.

Secara keseluruhannya, sekarang ini terdapat sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara.

MCMC melalui NADI telah menyertai PMR di Tawau, Sabah dengan mempromosikan Perkhidmatan Pintar NADI dan projek strategik berimpak tinggi kepada komuniti, khususnya di kawasan pedalaman.

INISIATIF PENGHANTARAN UBAT

Antara tarikan utama di reruai NADI di program ini adalah pameran berkaitan inisiatif penghantaran ubat menggunakan dron yang bakal dilaksanakan oleh MCMC bersama Kementerian Kesihatan selaku rakan utama dan rakan-rakan strategik seperti MRANTI, serta penyedia teknologi dron tempatan.

Inisiatif ini merupakan projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih.

Matlamatnya bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk kawasan pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai keadaan jalan yang baik.

Reruai NADI di PMR Tawau turut menampilkan pelbagai aktiviti
Perkhidmatan Pintar NADI melalui lima teras utama iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran sepanjang hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *