SWAN pemangkin untuk memperkasa wanita – Fadhlina

Petikan FB Fadhlina Sidek
5 MEI 2025

Bertitik tolak daripada iltizam untuk melakukan anjakan partisipasi wanita dalam politik, saya dan rakan-rakan Wanita KEADILAN mengasaskan Sekolah Wanita (SWAN).

Kerana apa? Tatkala kesenjangan gender semakin merapat dalam domain utama seperti pencapaian pendidikan dan penyertaan tenaga buruh, pelibatan wanita dalam politik serta sebagai pembuat keputusan masih rendah.

Kini genap hampir setahun SWAN ditubuhkan untuk memberdaya golongan wanita dalam ruang aktivisme sosial dan pembangunan modal insan.

TELITI DENGAN KERANGKA

Pelaksanaannya dilakukan penuh teliti dengan kerangka dan struktur yang disusun rapi. Pengetua memastikan pentadbiran dan operasi berjalan lancar, manakala tenaga pengajarnya pula adalah dalam kalangan pakar bidang.

Penyertaan SWAN dibuka seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang berminat tanpa mengira umur, latar belakang atau jalur politik.

Sepanjang program, peserta mengikuti pelbagai modul merangkumi topik seperti politik, demokrasi, ekonomi manusiawi, komunikasi, perundangan, personaliti dan keterampilan.

MASIH TERLALU AWAL

Mungkin masih terlalu awal untuk menilai kejayaan SWAN. Apa yang penting, inisiatif ini perlu terus berjalan. Keberhasilan pendidikan memerlukan masa, komitmen dan usaha yang berterusan.

Dalam konteks partisipasi politik, apa yang dimahukan adalah bukan sahaja untuk memastikan penyertaan wanita mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus, tetapi bagaimana mereka dapat menggunakan peluang tersebut untuk memberi sumbangan penting kepada negara.

Menjadikan tokoh seperti Ibu Zain dan Kartini sebagai inspirasi, SWAN adalah pemangkin untuk memperkasa wanita, menjadikan mereka sebagai pemimpin hebat yang berilmu dan bervisi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *