

Oleh: Sholina Osman
30 APRIL 2025
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mengukuhkan jaringan antarabangsa apabila memeterai perjanjian rasmi dengan empat institusi pengajian tinggi utama dari Uzbekistan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang akademik dan penyelidikan.
Kenyatan media UniMAP memaklumkan majlis menandatangani perjanjian ini berlangsung sempena lawatan rasmi delegasi kanan Wilayah Tashkent, Uzbekistan yang diketuai oleh Gabenor Wilayah Tashkent, Mirzaev Zoir Toirovich.
Turut hadir ialah Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Karomiddin Gadoev, bersama tujuh pegawai kanan kerajaan dan wakil institusi pelaburan serta perdagangan negara tersebut.
SATU LAGI PENCAPAIAN
Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata lawatan bersejarah berkenaan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi dan kerjasama industri.
Ujarnya, institusi pengajian tinggi yang terlibat ialah Tashkent Institute of Irrigation and Agricultural Mechanization Engineers (TIIAME), Termez State University (TerSU), Institute of Mathematics Uzbekistan dan Uzbek-Finnish Pedagogical Institute (UzFIPI).
“UniMAP sebelum ini telah menerima seramai 190 pelajar Uzbekistan mengikuti program prasiswazah antara tahun 2008 hingga 2015,” katanya.
Di samping itu, katanya, enam pelajar pascasiswazah dari Uzbekistan telah mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan alam sekitar, kejuruteraan komputer dan pengurusan perniagaan antara 2010 hingga 2013.
BARISAN KEPIMPINAN UniMAP
Terdahulu, delegasi Uzbekistan telah disambut oleh barisan kepimpinan UniMAP yang diketuai oleh Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Prof. Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi; Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik (FKTEN), Prof Madya. Ir. Dr. Razaidi Hussin serta Pengarah Pusat Libatsama Antarabangsa (CIE) UniMAP, Prof Madya. Ir. Dr. Umi Fazara Md Ali.
Tambah Zaliman, empat teras utama kerjasama ini telah digariskan iaitu pertukaran staf akademik dan pelajar, termasuk mobiliti akademik, pensyarah pelawat dan pertukaran budaya.
Selain itu, katanya pelaksanaan program akademik bersama dan ijazah berkembar dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi bersama industri kedua-dua negara serta penganjuran persidangan dan bengkel bersama dalam bidang berkaitan.
“Kerjasama ini dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan pendidikan antara Malaysia dan Uzbekistan serta menjadi pemangkin kepada penyelidikan inovatif, pembangunan teknologi dan jaringan akademik bertaraf antarabangsa,” katanya. – JM
