




Oleh: Sholina Osman
27 APRIL 2025
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sim Sim, Sandakan, Sabah.
Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan program
anjuran MCMC melalui Program Perkhidmatan Pintar NADI ini bagi merapatkan jurang digital dan sosial serta memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi dalam menjayakan agenda digital
negara.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah Kempen Internet Selamat, pameran aktiviti
Perkhidmatan Pintar NADI, promosi produk usahawan NADI, Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), saringan kesihatan
percuma, bengkel microbit, pertandingan e-Sukan serta pendaftaran ahli NADI baharu.
ASAS PENGGUNAAN INTERNET
Kempen Internet Selamat menumpukan pelajar bawah 13 tahun yang didedahkan kepada peraturan asas penggunaan Internet secara beretika serta bahaya risiko siber
seperti buli, pemangsaan dan kandungan tidak sesuai.
Sejak beroperasi pada 22 Oktober 2019, NADI Sim Sim telah melaksanakan pelbagai
program yang membantu memperkasakan komuniti setempat khususnya melalui lima teras Perkhidmatan Pintar iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.
Di NADI Sim Sim ini sendiri, ramai usahawan komuniti telah berjaya meningkatkan pendapatan melalui latihan dan sokongan digital yang disediakan.
Ada yang bermula secara kecil-kecilan, kini mampu memasarkan produk secara dalam talian melalui
platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Shopee.
MEMBUKA PELUANG BAHARU
Program keusahawanan NADIPreneur di bawah teras Perkhidmatan Pintar NADI pula membuka peluang baharu kepada usahawan tempatan dalam aspek pelan perniagaan, operasi perniagaan, pengurusan kewangan dan pemasaran.
NADI Sim Sim merupakan salah satu daripada lapan buah NADI yang aktif di daerah Sandakan, termasuk NADI Pekan Batu Sapi, NADI PPR Taman Mesra, NADI Taman Mawar, NADI PPR Taman Murni, NADI Kg Sungai Kayu, NADI Sebait Padas dan NADI PPR Taman Gum Gum yang memanfaatkan lebih 12,000 komuniti sekitar.
Hadir sama Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (B) dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri MCMC, Bukhari Yahya. -JM
