



19 APRIL 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan wakil tiga konglomerat terkemuka Thailand iaitu TCC Group, Minor International Group dan PTT Group di Bangkok bagi membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama strategik dengan Malaysia.
“Saya mengalu-alukan usaha pelaburan berimpak tinggi oleh syarikat-syarikat negara jiran seperti Thailand, dan komited untuk memudah cara pelaburan berkualiti khususnya dalam sektor nilai tambah tinggi yang menjadi tumpuan dasar ekonomi negara,” katanya dalam hantaran di GB.
Beliau berkata, antara sektor utama yang dikenal pasti termasuk elektrik dan elektronik, kenderaan elektrik, bahan kimia dan bahan termaju, ekonomi digital, tenaga boleh baharu, teknologi karbon (CCUS), aeroangkasa, serta farmaseutikal dan peranti perubatan.
MEMPERKUKUH RANTAIAN BEKALAN
Tambahnya, dasar ekonomi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Semikonduktor Negara (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) menjadi panduan utama dalam memperkukuh rantaian bekalan tempatan dan merancakkan inovasi dalam sektor baharu.
“Saya menghargai kesediaan ketiga-tiga syarikat ini untuk memperluas pelaburan di Malaysia,” ujarnya.
Jelas Perdana Menteri, Kerajaan komited untuk menyokong aspirasi mereka dan meneroka potensi baharu yang mampu memanfaatkan rakyat dan memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan Thailand. – JM
